top of page
Writer's pictureNurul Nadiah

KESAN TIADA PERKHIDMATAN BIMBINGAN DI SEKOLAH

Updated: Jun 1, 2021

1) Kemerosotan dari segi akademik di sekolah

Sememangnya seseorang guru bimbingan bukan tugasnya seperti guru kelas atau guru subjek di sekolah, tetapi peranan mereka juga turut penting dari segi meningkatkan pencapaian akademik pelajar iaitu dengan membantu dalam mengenal pasti kesulitan-kesulitan yang menganggu pencapaian mereka dan mengadakan langkah-langkah untuk mengatasinya seperti merujukkan kepada guru-guru berkenaan dalam mendapatkan bimbingan terutama ingin mengetahui cara belajar yang berkesan.Guru pembimbing juga perlu menjalankan sesi bimbingan iaitu memberi tunjuk ajar secara terus kepada pelajar bagaimana cara untuk mereka mengulangkaji secara individu dan kumpulan. Ini kerana, kedua-dua kaedah pembelajaran tersebut tidak sama dan mempunyai strategi sesuai mengikut situasi.Tanpa perkhidmatan bimbingan juga,murid sukar untuk memilih mata pelajaran elektif yang bersesuaian dengan minat dan tahap mereka.Hal ini, guru pembimbing telah menjadi tempat rujukan penting selain guru pengajar untuk mendapatkan maklumat tentang pemilihan mata pelajaran tersebut


2) Berleluasa masalah disiplin di sekolah

Ketidakwujudan perkhidmatan bimbingan di sekolah pasti menjadikan kegiatan masalah disiplin pelajar semakin berleluasa.Ini kerana,guru pembimbing juga beperanan dalam menguasai kemahiran disiplin diri murid selain daripada guru disiplin yang bertanggungjawab dalam mengawal masalah disiplin pelajar.Kebiasaannya,masalah disiplin yang selalu dirujuk kepada guru pembimbing adalah tingkah laku yang bukan berbentuk jenayah besar seperti tidak menghormati guru,ponteng sekolah,masalah dalam bilik darjah, pergaduhan dan vandalisme.Maka,guru bimbingan ini melatih kemahiran disiplin murid dengan mengadakan pelbagai program yang dapat memenuhi masa ruang para pelajar terutama pada waktu cuti penggal atau setelah tamat peperiksaan.Contohnya,seperti kem perkhemahan,atau bengkel motivasi dan kemahiran.Ini penting agar masa yang terluang di kalangan pelajar tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


3) Fungsi perkhidmatan sekolah dianggap tidak lengkap

Tanpa wujudnya perkhidmatan bimbingan dan penasihatan, fungsi perkhidmatan sekolah tersebut dianggap tidak lengkap dalam menuju modal insan bertaraf tinggi.Hal ini demikian, tugas pembimbing sebenarnya bukan hanya fokus kepada satu aspek sahaja tetapi peranannya yang amat penting dalam membimbing pelajar dari semua aspek iaitu akademik,disiplin,kerjaya,peribadi dan sebagainya.Sebagai contoh, tugas yang sering dilakukan oleh guru pembimbing ini adalah dengan merancang pelbagai program seperti motivasi dan ceramah bagi meningkatkan tahap kesedaran dan rasa kebertanggungjawapan pelajar terhadap peranan mereka sebagai seorang anak dan pelajar serta kesungguhan untuk kejayaan mereka sendiri.Ia juga sebagai usaha dalam meningkatkan lagi kemahiran pelajar dalam mengenali dan mengurus diri,membina matlamat diri,mengenal pasti sumber belajar dan kemahiran belajar sokongan


4) Salah dalam membuat keputusan

Setiap keputusan yang dibuat oleh para pelajar semestinya perlulah dilihat secara teliti oleh pihak yang berautoriti dahulu kerana mereka lebih berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang tersebut.Maka,berdasarkan tugas guru pembimbing, mereka harus menolong para pelajar membuat keputusan yang bijaksana dalam pelbagai situasi hidupnya seperti dalam pemilihan institusi atau kerjaya.Contohnya,membantu dengan menyalurkan pengetahuan dan maklumat kerjaya bagi memudahkan mereka membuat permohonan ke institusi-institusi pengajian yang berkenaan dengan kerjaya yang diminati mereka.Guru pembimbing juga mampu melihat ke arah manakah seseorang pelajar itu boleh membawa dirinya ke alam pekerjaan berdasarkan kebolehan dan minat mereka.Contohnya dalam ujian psikometrik,guru pembimbing dapat tahu perkembangan minat pelajar tersebut. Ini kerana,pengetahuan minat seseorang itu berperanan penting kerana minat dapat mempengaruhi dan mendorong pelajar berusaha lebih gigih untuk menguasai serta mandapatkan apa yang dikehendaki


5) Tekanan yang dihadapi tidak berkurangan

Kemungkinan tanpa perkhidmatan bimbingan di sekolah, tekanan yang dihadapi pelajar

terutamanya pelajar asrama tidak dapat dikurangkan.Ini kerana pelajar asrama pastinya kurang mendapat sokongan sosial seperti ibubapa atas faktor jarak yang jauh untuk menjumpainya walaupun kadangkala dapat meluangkan sedikit masa melalui telefon. Contoh tekanan yang sering dihadapi seperti tekanan pembelajaran,tekanan guru atau faktor persekitaran sekolah. Selain daripada rakan,mereka berhak untuk mendapatkan sokongan,nasihat dan pandangan dengan orang yang lebih arif seperti guru pembimbing. Maka,kebergantungan mereka terhadap guru pembimbing amatlah tinggi dalam berkongsi masalah dan memecahkan permasalahan yang dihadapinya di sekolah


6 views

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page